Panduan Karangan (Penulisan ) Sekolah Rendah

Di sini saya ingin kongsikan email yang diterima oleh saya daripada seseorang yang menceritakan pengalaman beliau mengajar karangan di sekolah rendah untuk panduan guru-guru sekelian:



Secebis Kisah Pengajaran Karangan di Sekolah Rendah
Oleh Mohd Isa Abd Razak

Seorang guru Bahasa Melayu baru bertukar ke sekolah baharu. Dia berhadapan dengan beberapa orang murid tahun lima yang masih belum mampu menghasilkan karangan yang baik. Walaupun masa untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hampir dua tahun lagi, guru itu tetap risau akan keadaan murid-muridnya. Dia mahu membantu murid-murid itu mulai awal tahun ini juga. Dia meminta pandangan saya.

Langkah pertama yang perlu cikgu lakukan ialah meneliti profil murid. Kenali setiap murid dari pelbagai sudut, khususnya prestasi pembelajaran mereka. Kemudian, berbincanglah dengan guru yang mengajarkan karangan kepada mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Cikgu mungkin memperoleh banyak maklumat daripada guru-guru yang berkenaan.

Selain itu, adakan juga perbincangan dengan murid-murid agar cikgu dapat meneroka kekangan yang mereka hadapi daripada mulut mereka sendiri. Setelah itu dan setelah melakukan beberapa tindakan yang lain, barulah cikgu dapat melakukan tindakan pembetulan dan penambahbaikan. Tegasnya, penyelesaian masalah hendaklah berdasarkan dapatan penyelidikan dan analisis data.

Dari segi pedagogi, sebelum mengarang murid mesti menguasai aspek tulisan mekanis . Aspek itu ialah kemahiran menulis huruf, suku kata dan perkataan. Hal ini dapat dilihat dari berbagai-bagai sudut. Antaranya termasuklah ketepatan bentuk, jarak, tekanan, kecondongan, kekemasan dan kepantasan. Aspek mekanis yang lain ialah kemahiran menggunakan huruf kecil, huruf besar dan tanda baca.

Cikgu sedia maklum bahawa antara tugas guru Bahasa Melayu termasuklah mengendalikan pemulihan ringan, iaitu pemulihan dalam bilik darjah biasa. Dapatan penyelidikan dan analisis data pasti membantu cikgu membuat keputusan sama ada murid-murid itu masih perlu menjalani pemulihan tulisan mekanis atau tidak.

Aspek penguasaan ejaan dan kosa kata amat penting. Jikalau kita mengabaikan aspek ini, karangan murid mungkin kurang bermutu atau "buruk" seperti karangan tentang "datuk saya" yang menjadi bahan lelucon dalam Facebook. Sayang, masyarakat kita lebih berminat menjadikan kelemahan orang sebagai bahan lelucon dan bukannya bahan analisis untuk melakukan pembetulan dan penambahbaikan. Saya yakin, cikgu tidak tergolong dalam kategori orang awam itu. Analisislah karangan murid-murid cikgu. Kemudian, rancang dan laksanakanlah aktiviti yang membolehkan murid-murid itu mengatasi kelemahan mereka dari segi ejaan dan kosa kata.

Guru yang baik mengadakan berbagai-bagai aktiviti untuk membantu murid menguasai ejaan dan kosa kata. Antaranya, mereka mengadakan aktiviti imlak dengan cara yang menyeronokkan seperti menyalin pengumuman, lirik lagu dan resipi. Teknik permainan bahasa seperti teka silang kata dan sahiba juga memungkinkan murid meningkatkan kemahiran mengeja dan menambah kosa kata. Gunakan teknik ini dan teknik lain agar asas untuk murid-murid cikgu itu menghasilkan karangan yang baik bertambah kukuh.

Karangan ialah gubahan fikiran yang terjelma secara lisan atau tulisan. Amat malang jikalau murid membawa kebiasaan lisan (terutamanya dalam situasi tidak formal) dalam penulisan mereka. Perkara ini sudah berlaku dan kelihatannya masih terus berlaku. Saya berharap kita bersama-sama menjadi benteng agar perkara ini tidak terus berlaku. Ada kumpulan teladan di alam nyata dan dalam interaksi maya yang dapat kita contohi. Sebagai guru atau mantan guru Bahasa Melayu, kita wajar menyertai kumpulan contoh itu. Kita bersama-sama dengan mereka menggunakan bahasa Melayu baku, sopan dan indah dalam pelbagai ranah komunikasi. Insya-Allah, murid-murid kita akan mencontohi kita dan hasilnya akan terpancar dalam karangan mereka.

Sekali lagi, karangan ialah gubahan fikiran. Gubahan fikiran yang ringkas ialah satu perkataan. Guru yang baik mengajarkan karangan secara bertatatingkat, iaitu menulis perkataan, frasa, satu ayat, beberapa ayat dan seterusnya beberapa perenggan. Maka wujudlah beberapa teknik. Antaranya termasuklah karangan berpandu, karangan terkawal dan mengarang secara bebas. Setiap teknik ini ada subtekniknya yang tersendiri. Mereka yang bergelar guru Bahasa Melayu di sekolah rendah mengetahui teknik ini dan berkemahiran mengendalikannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadi, gunakanlah teknik yang bersesuaian dengan murid-murid cikgu.

Inilah pandangan saya secara umum dan ringkas tentang penulisan karangan di sekolah rendah. Adapun pandangan dan dorongan mendalam serta latihan, wajarlah diperoleh melalui pembacaan, bengkel, kursus dan sebagainya.

Baca Komen (2)

Selamat Tahun Baru Cina

Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada semua warga pendidik Daerah LMS yang menyambutnya.







widgeo.net

Baca Komen (0)

Kajian Persepsi Murid Terhadap Guru

Berikut adalah dapatan satu kajian mengenai persepsi murid terhadap guru. Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri dan meletakkan kita di dalam kelompok mana.

Ciri guru yang dianggap sebagai  berkesan:
  • Guru mengajar sangat jelas.
  • Sangat tegas, betul, tidak lewat masuk.
  • Rajin, mudah difahami.
  • Mengajar bersungguh-sungguh.
  • Berdisiplin, masuk awal, teknik pengajarannya berkesan dan hadir ke kelas tepat pada masanya.
  • Murid belajar dengan gembira, tidak tertidur. Guru yang sangat baik dan prihatin, mereka tidak duduk atau baca buku.
  • Suka buat lawak, tulisan guru terang, mengajar dengan penuh semangat ingin menolong.
  • Memberi hukuman yang adil, seronok kerana dia mengajar cepat faham.
  • Suka menyemak buku, tidak sombong.
  • Kerana dia tidak malas, kalau orang tak reti membuat kerja dia tunjukkan.

Gambar hiasan:  Guru bersama muridnya

Faktor guru dinilai rendah
  • Jarang masuk kelas, garang, malas dan mengajar sedikit.
  • Tidak mengajar dengan betul.
  • Selalu tak masuk kelas.
  • Susah hendak faham.
  • Sekali-sekala masuk kelas dan pelajaran kami ketinggalan.
  • Kurang mengajar dan suka marah.
  • Tidak PJK
  • Guru garang suka luku kepala orang.
  • Saya tidak suka cikgu yang lembut.
  • Kerana dia hari-hari beri kerja rumah sampai tak dan nak buat.
  • Menyuruh orang balik kalau orang itu tidak bawa buku.
  • Tidak mengambil berat terhadap kami, mengajar kami tidak sempurna dan hidung tinggi.
  • Malas mengajar, tidak menerangkan apa yang ditulis.
  • Tidak pernah berbincang dalam Penulisan.
  • Cikgu ini banyak memberikan kerja tetapi di dalam kelas dia hanya duduk sahaja dan tidak membincangkannya, dia selalu menengking kami.
  • Mengajar tidak bersungguh-sungguh.
  • Selalu tidak mengajar.
  • Lewat masuk kelas.
  • Pelajaran agama saya lemah kerana guru lambat masuk dan lambat mengajar.
  • Pengajarannya amat lemah.
  • Mereka duduk macam orang malas dan tengok mereka macam malas mengajar.
  • Mengajar orang dia sampai tidur dan dia tidak gerakkan orang yang tidur cikgu biarkan sahaja.
  • Suka masuk lambat.
  • Kerana ia mengajar main-main.
  • Mementingkan diri sendiri, dan dia tidak menulis di papan hitam.
  • Selalu membuang masa.
  • Tidak mengambil berat tentang murid, suka menyebelahi anak sendiri dan bercakap besar.
  • Tidak mengajar, masuk kelas bagi kerja lepas itu duduk.
  • Selalu masuk lambat, malas mengajar, membiarkan murid buat bising.
  • Lebih banyak memberi latihan daripada mengajar.

Baca Komen (1)comments